Wednesday, September 8, 2010

Jangan berpura-pura di hari raya




Selamat hari raya untuk semua pembaca setia sharemotivasi. Tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita menyambut hari raya aidilfitri, detik kemenangan kita yang harus kita raikan.

Sebut sahaja mengenai raya~jom balik kampung, mulalah kita membayangkan saat tangisan pilu dipagi hari sambil bersalaman bermaafan di hari yang mulia. 

Kesempatan sebegini lah yang perlu kita ambil tahu kerana mungkin pada masa lain kita amat terasa sukar untuk meminta maaf kepada orang lain dan juga terasa susah untuk memaafkan kesalahan orang lain. Bukankah Islam mengajar kita untuk meminta ampun kepada sesama manusia jika kita telah melakukan kesilapan mahupun menguris perasaaan kepada orang lain?

Kelebihan hari raya ini adalah waktu yang kemuncak dimana hati yang keras umpama batu pun boleh cair apabila seseorang datang meminta maaf kepadanya di hari raya. Setuju ?

Dan tidak lupa kepada si pelaku dosa juga, pasti di hari raya nanti, apabila lepas sahaja menziarah kubur pusara keluarga, pasti bibit-bibit dosa kepada orang lain diingat kembali lalu dihidupkan enjin kereta menuju kerumah si penerima musibah dari kelakuan dosa kita.

"ting tong" (bunyi loceng rumah)...."ting tong"......(masih senyap dari dalam rumah)..
tiba-tiba, " adik, mau cari olang sebelah ka?" makcik jiran berketurunan cina bertanya..
"Aah aunty, ada nampak kawan saya ni tak," 
"ooo..diaolang sudah pindah rumah maa.."
(pilukan hati kita...)

Jom kita pergi semula ke topik asal kita, "jangan berpura-pura di hari raya?" Apa maksudnya??

Suatu hari di pagi raya..Suasana suram dibasahi keringat rindu si ibu yang telah berumur di pagi raya mengenangkan anak-anak di perantauan.. Sayu hatinya melihat gambar-gambar kenangan ketika dia masih muda dahulu. Ada arwah suaminya, anak-anaknya. Tak lekang senyuman di bibirnya melihat gelagat satu persatu anak-anaknya. Yang paling nakal pun ada, yang paling pendiam pun ada. 
Rintih hatinya, "dimanakah anak-anakku sekarang"..Syukur, masih ada seorang anak,menantu dan cucu-cucu yang masih menemani dirinya di pagi raya..

"Nenek..." Riak si anak cucunya sambil melompat-melompat untuk menunjukkan baju melayu dan kurung yang di pakainya.
"cantik tak nek?" kata salah seorang cucunya, Deli namanya.
"cantik cu..mesti mahal ni. comel cucu nenek.."
"hee..mestilah, cucu nenek katakan.."
"Nenek, Nana nak duit raya.." pinta manja Nana kepada neneknya. Nana ialah adik kepada Deli. Masing-masing ligat dan teruja untuk menerima duit raya yang amat dinanti-nantikan oleh si kanak-kanak..

"Manjanya cucu nenek ni. Nana, cium tangan nenek dulu, baru boleh dapat duit raya," balas nenek.
Yeah!!! jeritan kegembiraan cucu kesayangannya..

Begitulah rutin setiap pagi raya sejak bertahun-tahun lamanya, hanya kedengaran beberapa orang riang ria cucunya di pagi raya berbanding berbelas-belas jumlah sebenar cucunya.
Walau masih dikurniakan cucu yang nakal dan riang, tapi jauh disudut hatinya, perasaan rindu kepada anak-anak yang masih tidak kunjung tiba. Bukan mendesak atau mengongkong, tapi ibarat fitrah manusia kepada anak-anak yang telah diasuh sejak sekian lama. Pasti memori silam menyingkap kembali agar anak-anaknya dapat bersamanya di pagi hari raya.

Jam menunjukkan tepat pukul 6 petang, namun tanda-tanda deruman enjin kereta dari ketibaan anak-anak masih belum didengari. Hanya kelibat sebuat kereta seorang anak sahaja yang menemaninya sejak dahulu masih dihadapan halaman rumah. 
Termenung dipintu jendela, hati nenek masih belum surut dari lautan rindu kelibat anak-anaknya. Sudah lama, khabar berita masih belum kunjung tiba, jika balik ke kampung sekalipun, masih boleh dibilang dengan sifir 1 sahaja. Terlalu jarang anak-anaknya selain dari anak yang masih setia menemaninya yang 'suka' menjenguk dirinya. Hanya hadir pabila tanah ada orang ingin membeli dan pergi bila bil elektrik Rm20 yang ingin ditolong bayar.

Mungkin harga Rm20 itu lebih tinggi nilainya dari curahan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya ketika kecil dan sakit. Entahlah, dunia ini sudah berubah. Jika ada kes anak membunuh ibubapa di Malaysia, apatah lagi jika dibandingkan dengan kes anak tinggalkan ibu tunggal di desa.

Mengelamun seketika nenek di tepi jendela. Dilihatnya daun yang berguguran jatuh menyembah bumi. "Mungkin satu hari nanti, nasib ku seperti daun itu," rintih si nenek sambil mengelap air mata yang sudah keluar dari takungannya.
Perasaan hibanya tidak dapat lagi dibendung. Mungkin dia boleh menyembunyikan air mata dari anaknya, tapi tidak mungkin sedikit pun perasaan sedih dan kecewanya dapat disembunyikan dari Pencipta manusia. 

"Nenek.." sapa Deli secara tiba-tiba di belakang nenek.
"Iya cu.." Cepat-cepat air mata diselak dari sarung lengannya.
"Nenek menangis ye.."
"Takde la cu, ni, mata nenek kena masuk habuk kat tingkap tadi." Balas si nenek.
"Deli bagitaw kat ibu ye." ujar si Deli, ternyata Deli sudah lama memerhati tangisan nenek. Walaupun masih kecil, tetapi dia masih mampu mengerti. Mungkin sudah terlalu lama perkara ini terjadi disetiap tahun ketika Deli masih kecil lagi sehingga Deli mampu menangkap apa yang terkandung di fikiran neneknya tadi.
"Sudahlah cu, tidak perlu bagitaw kat ibu. Nenek sihat. Dah dah, jom kita masuk, jom teman nenek makan lemang lagi nak." Balas nenek sambil cepat-cepat menutup perbualan cucunya.

"kring, kring..." tiba-tiba telefon berbunyi lalu diangkat nenek menjawabnya.

"Assalamualaikum mak, Nabil ni." Jawab si Nabil, anak sulung nenek tersebut.
"Waalaikumussalam, Nabil, bila nak balik, mak dah lama rindu kat kamu.." jawab si nenek sampai kedengaran sedikit perasaan riang dihatinya.
"Mak, Nabil minta maaf, Nabil tak dapat datang raya pertama ni. Cucu mak, Ilyas dan isterinya masih belum sampai lagi. Mungkin raya ..."
"Takpe la Nabil, kamu tunggulah dulu Ilyas tu. Nanti, kirim salam kat cucu mak dan cicit sekali ye. Rindu mak.."
"Maafkan Nabil mak, bukan apa, cuma Nabil rindu dengan cucu pertama Nabil mak.."
"Takpe la Nabil, mak tak kisah pun. Asalkan kamu tu sihat, dah cukup bagi Mak."
"Terima kasih mak.."
"Sama-sama Nabil.."
"Mak, Nabil ada berita gembira. Alhamdulillah, rezeki raya Nabil.."
"Apa dia nak, ceritalah.."
"Tanah 2 ekar mak punya tu dah dibayar ke akaun Nabil. Semuanya RM40 ribu.."
"mmm.."
"Mak jangan risau ye, Nabil akan jaga duit tu. Oh ye, pasal mak nak tukar zink lama tu macam tak jadi lah mak, lagipun zink tu elok lagi. Rugi kalau mak tukar zink baru."
"tuuuttttt...." Tiba-tiba line telefon terputus. Barangkali prepaid Nabil sudah habis agaknya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Saudara pembaca sekalian, ingatlah, hidup kita ini tidak akan wujud tanpa ibu bapa. Tanpa mereka, tiadalah kita dilahirkan. Sebagai seorang anak, kita haruslah faham tentang konsep keibubapaan. Mereka tidak pernah sesekali mengharapkan wang sebagai ganjaran terhadap apa yang telah mereka korbankan. Malah, tiada sesekali pula mereka menginginkan kemewahan harta, atap genting kepada mereka.

Apa yang mereka mahukan hanyalah kasih sayang sekalian kepada mereka. Janganlah kita berpura-pura di hari raya meminta ampun dan maaf, tapi tak sampai sesaat, kita kembali mengabaikan tanggungjawab kepada mereka. 

Apa gunanya erti kemaafan tapi tidak pernah untuk berubah. Apa gunanya diciptakan hari raya tanpa untuk mendekatkan siratulrahim. Dan apa gunanya jika digunakan kesempatan emas ini tanpa ikatan kasih sayang antara manusia sesama manusia?

Fikirkanlah sebelum terjadinya hari raya yang bakal menjelang tiba. Usah nanti kita hanya dapat menangisi untuk meminta ampun di tepi pusara kerana saat itu, nasi sekalian sudah menjadi bubur yang basi..

Renungkanlah, fikirkanlah, hayatilah erti sebenar syawal yang tiba ini..

Salam raya dari saya dan seluruh komuniti sharemotivasi.com..
 


0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More